Friday, February 25, 2011

Bincangkan bentuk agama dan kepercayaan masyarakat Arab pada zaman Jahiliyah.

Pengenalan
1. Zaman sebelum kedatangan Islam dikenali sebagai zaman Jahiliah, iaitu bermula dari tempoh keruntuhan empangan maarib sehingga zaman sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul.
2. Ciri-ciri masyarakat Jahiliah ini tidak mempunyai nabi dan rasul serta kitab suci sebagai panduan.
3. Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu yang pertama pad 610 M. Perkataan Jahiliah yang bererti bodoh menepati ciri-ciri masyarakat pada tempoh masa tersebut dalam semua aspek kehidupan.
4. Kepercayaan masyarakat Jahiliah terbahagi kepada 2 iaitu, kepercayaan agama dan kepercayaan adat. Kepercayaan agama ialah bentuk-bentuk agama yang diamalkan oleh bangsa Arab, sementara kepercayaan adat lebih merupakan kepercayaan tahyul dan tradisi lama yang diwarisi.
5. Kepercayaan adat tidak mempunyai konsep penyembahan sebaliknya membentuk sebahagian daripada budaya hidup mereka.

Isi-isi penting
Kepercayaan agama terbahagi dua iaitu Agama Samawi (Agama langit) yang diturunkan oleh Allah melalui nabi-nabi dan mempunyai kitab, dan agama ardhi (agama ciptaan) yang direka oleh manusia sendiri.

1. Agama Wathani
Majoriti masyarakat Jahiliah menganut agama wathani, iaitu agama sembah berhala yang diperbuat daripada batu, kayu atau emas. Sesetengah Arab percaya berhala dapat memberikan manafaat dan mudarat, mempunyai keberkatan dan sebagainya. Terdapat 360 buah berhala disekeliling kaabah. Antara yang popular ialah Al-Uzza, Al-Manat, dan Al-Hubal.

2. Agama Yahudi
Agama yang dianuti oleh masyarakat Arab sebelum Islam. Agama ini dibawa oleh Nabi Musa serta mempunyai kitab suci, iaitu kitab Taurat. Walau bagaimanapun golongan Bani Israel telah mengubah kandungan kitab ini demi kepentingan peribadi sehingga agama ini dianggap syirik kerana menduakan Allah.

3. Agama Nasrani
Agama ini juga telah diselewengkan oleh golongan pendeta agama tersebut. Meskipun Allah telah menurunkan kitab Injil kepada Nabi Isa, namun penganut agama ini telah mengubah kandungan asalnya. Penganut agama asal agama Nasrani dikenali dengan gelaran ahli kitab.

4. Agama Majusi
Agama ini juga digelar Zoroaster dan berasal dari Farsi. Mereka menyembah matahari dan api. Pendeta-pendeta Majusi menyembah matahari 4 kali dalam satu hari. Agama ini banyak mengandungi cerita khayal dan turut menghalalkan perkahwinan ibu dengan anak serta adik beradik.

5. Agama Hanif
Agama yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim. Penganutnya digelar Hunafa”. Agama ini tidak mempunyai kitab tetapi suhuf. Agama ini mentauhidkan Allah sebagai Tuhan yang Esa. Antara tokoh yang menganut agama ini ialah Waraqah bin Naufal dan Nabi Muhammad s.a.w sendiri.

6. Agama penyembahan Cekarawala
Mereka menyembah matahari, bulan dan bintang serta beranggapan semua cekarawala merupakan sumber tenaga dan kekuatan.

7. Agama Penyembahan Makhluk Halus ( Polydemonisme)
Mereka menyembah malaikat, Jin, roh nenek moyang dan sebagainya. Makhluk makhluk ini dianggap mempunyai kuasa ghaib dan boleh menjadi perantaraan dengan Tuhan, dan menjamin keselamatan mereka.

8. Penyembahan Tuhan Padang Pasir.
Penganutnya digelar Ahl-al-Saf ( ‘ahlil-saf’ ). Mereka percaya bahawa padang pasir wujud tetapi tidak pernah ditemui. Amalan mereka membawa api pada waktu malam dan berjalan-jalan di tengah padang pasir sambil menyanyi.

9. Kepercayaan Animisme
Mereka menyembah objek-objek alam sekeliling seperti pokok, mereka percaya air dan pokok merupakan sumber kehidupan dan padang pasir yang kering sebagai tempat kediaman tuhan yang jahat.

10. Kepercayaan tahyul
Kepercayaan tangkal azimat:
a. Roh orang mati menjadi burung.
b. Percaya kepada ahli nujum.
c. Percaya kepada ahli sihir.
d. Percaya kepada binatang yang melintas di tengah-tengah perjalanan- Jika ke kiri membawa kepada keburukan, manakala ke kanan akan membawa kebaikan.
e. Mengorbankan anak perempuan merupakan perbuatan yang mulia.
f. Mengikat tali pada mana-mana pokok, jika ikatan terlerai sekembalinya suami dari perantauan, ini bermakna isterinya telah berlaku curang.

Kesimpulan
Masyarakat Jahiliah tidak mempunyai peraturan hidup yang jelas, sebaliknya menurut hawa nafsu semata-mata.


Bandingkan ciri-ciri masyarakat Arab pada zaman Jahiliyah dengan masyarakat Islam pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah.

A. Pengenalan :

1. Zaman jahiliah merujuk kepada masyarakat di Semenanjung Tanah Arab. Mereka hidup dalam zaman kegelapan tanpa berpandukan ajaran wahyu dan mengamalkan nilai akhlak yang buruk. Zaman ini berlaku 300 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. iaitu bermula daripada kejatuhan empangan Maarib sehingga kedatangan Islam.
2. Nabi Muhammad dan orang Islam telah berhijrah ke Madinah pada 622 M. Di Madinah Nabi Muhammad telah dilantik sebagai ketua negara dan mengasaskan pemerintahan negara Islam yang pertama.
3. Kedatangan agama Islam telah membawa perubahan yang besar ke atas masyarakat Arab terutama masyarakat di Madinah.

B. Isi : ( Isi mesti menunjukkan perbandingan )

1. Kepercayaan / Agama :
a. Majoriti masyarakat Arab Jahiliah menganut agama menyembah berhala dengan menganggap berhala sebagai perantaraan antara manusia dengan Tuhan. Pada masa ini Mekah berperanan sebagai pusat penyembahan berhala. Agama lain yang dianuti ialah ajaran animisme, majusi, nasrani dan yahudi. Masyarakat pada masa ini juga terikat dengan kepercayaan karut. ( Berikan contoh )
b. Masyarakat Islam pada zaman ini mempunyai keimanan yang kukuh. Orang Ansar secara rela telah memeluk ajaran Islam. Nabi telah melantik guru-guru agama untuk memperkukuhkan akidah dan amalan mereka. Di samping itu, nabi telah menjalankan dasar kebebasan beragama terutama ke atas masyarakat Yahudi dan mereka diberi kebebasan beribadat. Majoriti golongan Arab Madinah menerima agama Islam.

2. Hubungan Masyarakat / Sosial :
a. Masyarakat Jahiliah hidup terpisah dalam kabilah dan bani masing-masing. Setiap individu mempunyai ketaatan (semangat assabiyyah) kepada kabilah dan sangat prejudis kepada kabilah yang lain. Semangat ini juga menyebabkan mereka memihak kepada kabilah tanpa mengira sama ada mereka berada dalam keadaan benar atau salah. Ini telah menimbulkan masalah permusuhan antara kabilah berleluasa.
b. Masyarakat Islam Madinah berjaya membentuk sebuah masyarakat ummah Islamiyah tanpa mengira kaum dan suku. Kesetiaan kepada kaum tidak lagi wujud dan digantikan dengan ikatan persaudaraan Islam. Contohnya Nabi berjaya mempersaudarakan orang Ansar dengan Muhajirin.

3. Peperangan :
a. Permusuhan antara suku atau kabilah telah membawa peperangan di kalangan masyarakat Arab Jahiliah. Peperangan ini dikenali sebagai Ayyamul Arab. Perang balas dendam sering berlarutan. Contohnya Perang Al-Basus berlarutan selama 40 tahun.
b. Persaudaraan Islam telah berjaya menamatkan permusuhan di kalangan golongan Ansar iaitu suku Aus dan Khazraj. Sebelum memeluk Islam mereka terlibat dalam peperangan Al-Buath kerana merebut kepimpinan kota Madinah.Peperangan yang wujud di zaman Islam merupakan satu langkah mempertahankan agama, masyarakat dan negara Islam daripada ancaman musuh terutama serangan orang Quraisy Mekah dan pengkhianatan orang Yahudi.

4. Kelas Masyarakat :
a. Masyarakat Jahiliah mementingkan kelas dalam masyarakat. Golongan bangsawan merupakan golongan tertinggi dan dipandang mulia. Dalam masyarakat Arab Jahiliah amalan perhambaan berlaku secara meluas. Mereka tidak mempunyai hak ke atas diri sendiri. Mereka dikehendaki berkhidmat kepada tuan mereka. Perdagangan hamba berlaku secara meluas. Kekejaman ke atas para hamba berlaku sekiranya para hamba tidak mengikut kehendak mereka.
b. Dalam masyarakat Islam menitik beratkan konsep persamaan taraf.Semua manusia dianggap sama taraf di sisi Allah. Kemuliaan manusia berdasarkan kepada ketakwaannya kepada Allah. Manusia tidak dibezakan mengikut kekayaan atau pangkat mereka.

5. Kedudukan Wanita :
a. Masyarakat Arab Jahiliah memandang rendah kepada golongan wanita. Fungsi mereka hanyalah sebagai alat kepada kaum lelaki. Mereka dianggap sebagai barang dagangan dan ada di kalangan mereka yang kematian suami, menjadi rebutan anak-anak lelaki suami mereka. Keadaan ini menyebabkan suku bani Tamim telah menanam bayi perempuan bagi mengelakkan mereka dipandang rendah.
b. Nabi mengajar masyarakat Islam di Madinah memandang mulia golongan wanita. Mereka perlu dipelihara maruah dan kebajikan mereka. Kaum wanita memainkan peranan yang sama pentingnya dengan goIongan lelaki.

6. Akhlak :
a. Masyarakat Arab Jahiliah mengamalkan nilai akhlak yang buruk seperti berzina, melacur, membunuh, minum arak dan berjudi. Nilai ini telah sebati dengan kehidupan mereka.
b. Islam menekankan akhlak yang mulia.Bermula dengan perjanjian Al-Aqabah I, masyarakat Madinah berjanji tidak akan menipu, berzina, dan membunuh. Nabi berjaya mengikis segala amalan akhlak yang buruk di kalangan orang Islam di Madinah.

7. Politik :
a. Sistem politik dan pentadbiran adalah tidak seragam. Kerajaan yang wujud lebih bersifat monarki dan terletak di bawah kuasa asing seperti Parsi dan Rom. Masyarakat golongan Badwi mengamaIkan sistem politik kabilah masing-masing. Sementara itu masyarakat kota Mekah menjalankan sistem politik kabilah.
b. Kerajaan Islam Madinah wujud berasakan perlembagaan Madinah. Undangundang utama yang digunakan ialah Al- Quran. Segala keputusan negara dilakukan melalui konsep syura. Masjid menjadi institusi yang penting dalam kerajaan Madinah.

8. Nilai-nilai Positif :
a. Dalam masyarakat jahiliah terdapat nilai-nilai positif seperti menghormati tetamu, berpegang teguh kepada janji, memberi perlindungan kepada Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang dilakukan oleh Bani Hashim.
b. Dalam masyarakat Islam nilai-nilai ini diperkukuhkan selaras dengan nilai-nilai Islam.

9. Amalan Ekonomi.
a. Jahiliyah amalkan riba, pencurian dan penipuan. Jua beli berhala adalah ekonomi yang penting dan menguntungkan.
b. Islam mengharamkan riba dan mewajibkan urusan jual beli. Ada akad dalam urusan jual beli. Barangan yang diharamkan tidak boleh dijual beli seperti arak,patung berhala, dll.


Kesimpulan :
Perbezaan yang ketara, zaman jahiliyah berlandaskan nafsu dan dalam zaman Islam berdasarkan wahyu daripada Allah s.w.t